FOLLOWERS

Monday, February 28, 2011

Mestikah Jodohnya Penzina Juga?

Ustaz, saya  nak bertanya adakah seorang gadis yang pernah membuat zina, tetapi  telah bertaubat dengan sesungguhnya. Adakah dia akan mendapat jodoh  penzina juga. sedangkan dia benar-benar telah bertaubat dan berusaha  menjadi wanita solehah.

[B]Jawapan Ustaz :[/B]

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, jika seseorang sudah bertaubat dengan sebenar-benarnya  (taubat nasuha), nescaya bukti nyata dan jelas akan hasil taubatnya yang  tulen adalah dengan perubahan seluruh gaya hidupnya yang berkaitan  hubungan lelaki dan wanita.

Jika seseorang mendakwa atau merasa diri sudah bertaubat, namun gaya hidup lamanya seperti :

[#]Rutin hubungan kawan dan rakan dengan lelaki masih aktif [/#]
[#]Masih keluar makan, berjalan berdua-duaan dengan lelaki samada urusan kerja atau peribadi [/#]
[#]Masih ber 'boyfriend' aktif dengan dating dan chatting intim di malam hari, cuma kononnya kali kini dengan seorang 'ustaz' atau seseorang yang 'jaga solat lima waktu'.[/#]

Jawapnya; peluang untuk mendapat suami penzina akan terbuka luas seperti dahulu..

Taubatnya  mestilah dengan perubahan ketara dalam semua gaya hidup dan cara  hubungannya dengan lelaki. Cara pakaiannya juga sepatutnya berubah,  mungkin dari membuka aurta kepada tutup, dari tutup separa kepada tutup  penuh, dari tudung glamour munafiq (hakikatnya membuka aurat) kepada tudung muslimah sejati.

Hanya dengan demikian, mata-mata lelaki soleh akan mula melihat dan masuk menghantar wakil kepada ibu bapanya.

[B]Mata Lelaki Soleh[/B]

Mata  lelaki soleh tidak ingin melihat kepada wanita yang bercampur baur  dengan teman lelaki sekerja, 'bertepuk bertampar', bergurau senda, berdating sana sini dan berdua-duaan. Kecuali mata lelaki 'soleh' luarannya  (penampilan fizikalnya) namun 'tidak soleh' dalamannya, mereka yang  seperti ini akan terus berminat kepada mana-mana jenis wanita.

[B]Lelaki Zina Untuk Perempuan Zina?[/B]

Akhirnya,  Allah SWT berfirman : "Lelaki-lelaki yang berzina tidak akan mengahwini  melainkan wanita yang berzina, atau wanita musrik dan wanita yang  berzina tidak akan mengahwini lelaki kecuali yang berzina atau musyrik."  (Surah An-Nur : 3)

Dalam  ayat lain Firman Allah : "Wanita-wanita yang keji adalah untuk  lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki keji adalah untuk  wanita-wanita yang keji, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk  lelaki-lelaki yang baik.." ( Surah An-Nur : 26 )

Ayat  di atas menyebabkan ulama berbeza pandangan dalam hal berkahwin dengan  sesorang yang telah berzina. Ayat di atas secara sepintas lalu,  kelihatan mengharamkan berkahwin dengan kumpulan penzina ini kecuali  seorang penzina juga.

Walaubagaimanapun,  menurut [B]pandangan yang terkuat[/B]; hukum ayat di atas telah di 'nasakh'  kan dengan ayat yang mengharuskan berkahwin dengan semua muslim dan  muslimah yang masih boleh berkahwin. Iaitu ayat surah An-Nur ayat 32 .  Ia adalah pandangan majoriti ulama. (Al-Jami' li Ahkamil Quran,  Al-Qurtubi, 6/112 ; cet Dar al-Kutub al-Ilmiah)

Perlu  diingat juga, terdapat sesetengah keadaan Allah swt memberikan jodoh  lelaki atau wanita 'jahat'  kepada individu yang baik atau amat baik. Ia  juga tidak bercanggah dengan ayat di atas.

Hikmah yang Allah Maha Mengetahui.. amat besar kemungkinan yang soleh tersebut berjaya menjadi  lebih soleh dan musleh (membantu menjadikan seseorang itu menjadi soleh) apabila mendapat pasangan kurang baik. Lantaran  pengaruh dan kekuatannya, hingga beliau menjadi semakin tinggi  martabatnya di sisi Allah manakala pasangannya yang jahat menjadi soleh  dan solehah. 

Tatkala itu, pasangan individu kurang baik boleh sahaja  menjadi anugerah terbesar buat sebilangan individu yang terpilih menjadi  lebih baik dengannya.

Namun boleh berlaku juga sebaliknya, yang jahat bertambah ultranya, yang baik merudum jatuh. Nauzubillahi min zalik (semoga kita dijauhkan daripadanya).

- [LINK=http://iluvislam.com/]Artikel iluvislam.com[/LINK]


Ya ALLAH berikanlah aku seorang lelaki yang soleh..yang dapat membimbingku..AMIN..

No comments:

Post a Comment